fb fb fb fb fb

Pecah amanah hampir RM47,000,pengarah syarikat tidak mengaku salah

Brandon Siow Chow Chen ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - FOTO RTM

BUTTERWORTH, 5 September - Seorang pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas 11 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat melibatkan hampir RM47,000

Perbuatan itu dilakukan di antara 20 Jun 2023 hingga 7 Mac tahun ini.

Bagaimanapun, tertuduh Brandon Siow Chow Chen, 30 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusoff.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa telah melakukan pecah amanah dana sebuah syarikat berjumlah RM 46,900 untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan dilakukan di Syarikat Pr En Multi Coat di Jalan Raja Uda, Butterworth.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin mencadangkan jaminan sebanyak RM 32,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh diwakili peguam, H.K. Hng merayu agar jaminan minimum diberikan susulan anak guamnya perlu menanggung isteri, dan ibu bapanya malah sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan berlangsung.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan passport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Trainee2