fb fb fb fb fb

PDRM Terengganu tumpaskan sindiket dadah bernilai RM7.8 juta

Foto hiasan

SETIU, 24 Disember- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu menumpaskan sindiket pengedaran dadah seberat 244 kilogram (kg) dengan nilai rampasan terbesar di negeri itu iaitu RM7.8 juta.

Ketua Polis Terengganu Deputi Komisioner (DCP) Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ia menerusi sekatan jalan raya pada 22 Disember lepas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.

"Ini adalah rampasan yang ketiga, sebelum ini kita buat rampasan kira-kira 200 kg dan baru-baru ini 36 kg. Kali ini 244 kg.

"Kita percaya ia datang dari negara jiran, masuk melalui Kelantan dan dibawa ke destinasi seterusnya mungkin di Lembah Klang," katanya dalam sidang media di sini.

Semasa operasi berkenaan IPD Setiu mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berada dalam keadaan mencurigakan setelah pemandu kenderaan itu tiba-tiba melarikan diri.

Hasil pemeriksaan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM Setiu) ke atas MPV berkenaan menemukan enam guni berwarna putih setiap satunya berisi 35 bungkusan paket plastik berwarna perak keemasan.

Pada hari sama berhampiran lokasi sekatan jalan raya tersebut, sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda juga berada dalam keadaan mencurigakan setelah pemandu kenderaan itu turut melarikan diri.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kenderaan MPV yang membawa bungkusan dadah tersebut.

Bagaimanapun Mohd Khairi Khairudin menggesa orang ramai untuk menghubungi menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan atau melaporkan sebarang kegiatan jenayah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI