
NAGOYA, 20 September – Skuad hoki lelaki negara membuka kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan langkah bergaya apabila membelasah Uzbekistan 7-0 dalam aksi pertama Kumpulan B, hari ini.
- Norsyafiq Sumantri membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11.
- Faizal Saari menjaringkan hatrik, termasuk dua gol melalui pukulan sudut penalti.
- Azimuddin Syakir menjaringkan gol keempat; Azrai Aizad dan Faiz Helmi menambah jaringan lewat.
- Brendan puji pemain atasi gementar, namun mahu analisis video dan peningkatan sebelum berdepan Oman.
Anak buah Brendan Carolan tampil dominan sejak awal permainan apabila Norsyafiq Sumantri membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11 sebelum Faizal Saari menggandakan kelebihan empat minit kemudian.
Faizal sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-24 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Azimuddin Syakir Kamaruddin meledak gol keempat pada minit ke-36.
Faizal kemudian melengkapkan hatrik menerusi pukulan penalti pada minit ke-43 untuk Malaysia mendahului 5-0.
Skuad negara terus menekan pada suku terakhir apabila Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol keenam pada minit ke-59, sebelum Faiz Helmi Jali melengkapkan pesta gol seminit kemudian.
Kemenangan 7-0 itu bagaimanapun tidak membuatkan Brendan berpuas hati sepenuhnya apabila mengakui pemainnya mengambil sedikit masa untuk mengatasi rasa gementar sebelum lebih tenang dalam 20 minit terakhir.
“Saya gembira pemain berjaya mengatasi rasa gementar dan mula bermain dengan lebih tenang. Namun, kami sedikit longgar dan perkara itu perlu diperbaiki.
“Kami perlu melakukan analisis video dan tampil lebih baik selepas ini, terutama apabila berdepan pasukan yang lebih mencabar,” katanya.
Brendan turut menetapkan sasaran jelas untuk aksi kedua Kumpulan B apabila mahu anak buahnya memburu tiga mata lagi, selain meningkatkan prestasi berbanding perlawanan pembukaan.
Pasukan negara akan meneruskan perlawanan kedua kumpulan B berdepan pasukan Oman pada Selasa ini.