10 singa mati disyaki keracunan di Tanzania

Foto janaan AI

DAR ES SALAAM, 20 September – Sepuluh ekor singa ditemukan mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada keracunan di Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), Tanzania.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan lanjut oleh pakar sedang dijalankan untuk menentukan punca dan mencari pihak yang bertanggungjawab.
  • Ketegangan berpanjangan wujud antara pihak berkuasa dan komuniti nomad setempat di kawasan pemuliharaan.
  • Program pemindahan penduduk sejak 2022 dikaitkan dengan peningkatan pertembungan dan beberapa kematian.
  • Sejak Jun, sekurang-kurangnya 20 gajah mati di ekosistem Amboseli, Kenya, disyaki akibat keracunan racun perosak.

Pihak Berkuasa Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro (NCAA) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua singa itu ditemukan mati pada 18 September di kawasan Ndutu.

“Dengan dukacita, NCAA memaklumkan kepada orang ramai bahawa 10 ekor singa ditemukan mati pada 18 September 2026 di kawasan Ndutu,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pihak berkuasa berkata siasatan awal mendapati singa berkenaan mati selepas dipercayai “termakan racun”.

Siasatan lanjut oleh pakar sedang dijalankan bagi menentukan punca kejadian dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Kawasan Ngorongoro sebelum ini menjadi lokasi ketegangan berpanjangan antara pihak berkuasa dan komuniti nomad tempatan.

Pertembungan antara kedua-dua pihak adakalanya membawa kepada kematian sejak kerajaan melancarkan program pemindahan penduduk pada 2022.

Kerajaan Tanzania mendakwa pertambahan penduduk mengakibatkan habitat hidupan liar turut terkesan, dengan jumlah penduduk di Ngorongoro meningkat daripada kira-kira 8,000 orang pada 1959 kepada lebih 100,000 orang ketika ini.

Sementara itu, sejak Jun lalu, sekurang-kurangnya 20 ekor gajah mati dalam ekosistem Amboseli, Kenya, berhampiran sempadan Tanzania, akibat disyaki keracunan racun perosak.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat menentukan sama ada kematian gajah berkenaan berlaku secara tidak sengaja atau disengajakan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.