fb fb fb fb fb

Padah beraksi 'drift', pempengaruh TikTok direman dua hari

Pempengaruh TikTok antara 15 individu yang ditahan reman pagi tadi/Foto RTM Pulau Pinang

BALIK PULAU, 29 September - Pempengaruh media sosial TikTok yang juga usahawan muda antara 15 individu direman selama dua hari bagi membantu siasatan selepas ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, semalam.

Majistret M.Yegeshweriy mengeluarkan perintah reman sehingga esok ke atas kesemua lelaki tersebut.

Kesemua 15 individu itu dibawa ke mahkamah dengan menaiki trak polis pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi berkata, pempengaruh yang mempunyai 1.5 juta pengikut itu ditahan semasa melakukan aksi 'drift' di jalan raya semasa operasi dijalankan pada awal pagi semalam.

Tambahnya, mereka yang ditahan berusia 12 hingga 25 tahun itu dipercayai menunggang motosikal dan memandu kereta secara melulu.

Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi lalu lintas itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa yang sama polis telah menyita 14 motosikal serta sebuah kereta di lokasi kejadian.

Sebanyak 159 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu operasi yang disertai 53 pegawai dan anggota polis, termasuk dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

GRACE AISYAH KEDAYAN