IPOH, 28 Oktober - Polis Perak menahan lima pelajar sekolah bagi membantu siasatan kes menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans di kilometer 249 Lebuhraya Utara-Selatan, dua minggu lalu yang tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menerusi kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika ambulans tersebut sedang dalam perjalanan memberi bantuan kemalangan di kilometer 260 Lebuhraya PLUS arah Selatan.
Ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans yang berada di lorong kanan secara tiba-tiba telah dihalang oleh sekumpulan penunggang motosikal yang sedang melakukan aksi berbahaya.
Susulan itu, pasukan penguatkuasa daripada Jabatan Siasatan dan Peguatkuasaan Trafik IPK Perak telah mengesan suspek terlibat di sekitar negeri Pulau Pinang.
Kesemua suspek berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) ditahan dengan pihak polis turut merampas lima buah motosikal.
Kelima-lima suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kata beliau, polis akan mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya kepada pesalah-pesalah ini agar dapat dijadikan sebagai pengajaran buat pengguna jalan raya yang lain.
Terdahulu tular di media sosial video pendek berdurasi 37 saat yang dimuat naik pengguna memaparkan lima remaja menunggang motosikal dengan aksi berbahaya serta menghalang laluan ambulans, meskipun siren dibunyikan.