KUALA LUMPUR, 27 Mei- Polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam kekecohan yang melibatkan penyokong bola sepak di sebuah stadium di Petaling Jaya, selepas tamatnya perlawanan Liga Super, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata pihaknya telah mengesan dua video tular di media sosial pada 10.15 pagi tadi, mengenai kejadian tersebut yang menyebabkan pintu pagar besi masuk ke tempat duduk penyokong dirosakkan.
"Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, telah dibuka dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.