KLUANG, 27 April- Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan dalam satu serbuan di Taman Jaya Dua, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin, dipercayai terlibat dalam kes pencerobohan dan kecurian di Bangunan Makmal Komputer, Sekolah Jalan Parit Haji Hashim, Simpang Renggam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan laporan polis yang diterima pada 22 April lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima unit kompresor penghawa dingin, tiga guni berisi kulit kabel berwarna hitam bertulis 'Telekom Malaysia Berhad', sebilah pisau boleh laras, serta beberapa barangan lain.
Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan lima lagi berkaitan kesalahan narkotik. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.