fb fb fb fb fb

Lelaki OKU mengaku tidak bersalah rogol anak kandung

Tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah

SEREMBAN, 1 Februari- Seorang buruh berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas kesalahan merogol anak kandungnya pada 12 November tahun lalu.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh berusia 47 tahun itu telah merogol anak perempuannya yang pada ketika itu berusia 16 tahun enam bulan di sebuah kediaman di Rembau.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang daripada 10 sebatan jika didapati bersalah.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE