fb fb fb fb fb

Lelaki maut digilis tren bukan terjatuh, tetapi terjun sendiri ke landasan- Polis

FOTO BOMBA KL

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Lelaki yang didakwa terjatuh di atas landasan dan maut digilis tren, didakwa sebenarnya terjun ke landasan dengan sendiri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima maklumat pada pukul 10.56 malam daripada polis bantuan menyatakan seorang lelaki telah melompat terjun ke landasan stesen LRT Dato Keramat.

"Dipercayai, lelaki tersebut bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

"Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan sebelum tren LRT tersebut terus melanggar mangsa.

"Mangsa yang berada di bawah tren mengalami cedera parah teruk di kedua-dua belah kaki,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ashari, pihak bomba cuba untuk mengalihkan mangsa namun mendapati mangsa telah meninggal dunia. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan pada pukul 11.11 malam.

Katanya, mangsa dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE