fb fb fb fb fb

Dua 'keldai dadah' dicekup di KLIA2 dan Lapangan Terbang Miri

Imran Abd Rahman (tengah) bersama rampasan dadah

SEPANG, 24 Januari- Dadah bernilai lebih RM500,000 dirampas dengan tertangkapnya dua 'keldai dadah' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, suspek pertama iaitu lelaki tempatan, 25, ditahan di Balai Pelepasan sebelum menaiki penerbangan ke Bintulu oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

Pemeriksaan terhadap suspek mendapati lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan dipercayai syabu seberat lapan kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM264,000 dalam beg dibawanya.

Susulan itu, seorang lagi lelaki ditahan pada hari sama di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan rampasan lapan bungkusan plastik mengandungi syabu 8.3kg bernilai RM274,000.

"Untuk rampasan di KLIA ini, ikut anggaran ia boleh digunakan oleh seramai 40,000 penagih dadah.

"Modus operandi yang kita dapati yang digunakan oleh suspek-suspek ini ialah dia balut dadah dengan pakaian yang disorok dalam bagasi," katanya dalam sidang media di sini.

Tambahnya, suspek mendakwa menerima upah RM8,000 bagi satu perjalanan membawa dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH BINTI MD ISA