fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa bunuh abang ipar

Foto RTM

KUBANG PASU, 10 November - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, hari ini atas pertuduhan membunuh abang iparnya akhir bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Awang, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Dia didakwa membunuh Nasir Md. Nayan, 45, di kawasan bendang Kampung Pida 3, Tunjang, di sini kira-kira pukul 6.30 petang hingga 7 petang, 31 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 Januari 2026 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Pada 31 Oktober lalu,  seorang pesawah berusia 45 tahun ditemui maut, dipercayai ditetak dengan parang oleh adik iparnya di kawasan sawah Kampung Pida 3.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN