fb fb fb fb fb

Konsert Pinkfish: Enam laporan diterima, polis jalankan siasatan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan / Foto Fail / Bernama

SUBANG JAYA, 2 Januari – Polis mengesahkan menerima enam laporan berkaitan insiden kematian mengejut selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan tujuh individu yang menunjukkan simptom sama telah dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, kesemua mangsa hadir secara berasingan ke konsert tersebut bersama rakan atau keluarga masing-masing.

Empat daripada mangsa disahkan meninggal dunia, dua masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang telah dibenarkan keluar dari hospital.

Katanya, polis telah membuka empat kertas siasatan mati mengejut (SDR) untuk mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Hasil siasatan awal mendapati semua mangsa menghadiri konsert Pinkfish pada malam kejadian dan dipercayai mengambil pil jenis ekstasi. Setakat ini, enam saksi telah dirakam percakapannya dan pihak penganjur konsert serta rakan-rakan mangsa akan turut dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

Polis kini menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan punca kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 atau balai polis berdekatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN