SERI MANJUNG, 16 Januari - Reman ke atas suspek lelaki yang disyaki melakukan khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Rabu lalu dilanjutkan sehari lagi sehingga esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata permohonan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Seri Manjung, pagi tadi.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan Jumaat lalu di Shah Alam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.
"Setakat ini, tiada individu lain yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Hasil siasatan forensik kebakaran yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan diambil kira dalam penyiasatan berkenaan," katanya ketika dihubungi RTM.
RTM sebelum ini melaporkan polis menemui satu botol disyaki mengandungi ‘molotov cocktail’ atau bom petrol yang menyebabkan kebakaran di garaj kediaman bekas Speaker Perak itu dalam kejadian awal pagi Rabu lalu.
Kejadian itu turut memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan serta bumbung anjung rumah.
Pada 11 Januari, seramai tujuh individu dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung insiden khianat api di kediaman Koo Ham.
BERITA BERKAITAN:
- Laporan siasatan kebakaran kediaman Koo Ham diketahui minggu ini
- Kebakaran rumah Koo Ham: Polis tahan seorang suspek di Shah Alam
- Khianat api di rumah Koo Ham: Tujuh individu dipanggil beri keterangan
- 'Molotov Coctail' ditemui dirumah Ahli Parlimen Beruas - Polis
- Rumah, tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas terbabit kebakaran