fb fb fb fb fb

'Molotov Coctail' ditemui dirumah Ahli Parlimen Beruas - Polis

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 kanun keseksaan iaitu khianat dengan api/FOTO Ihsan Bomba Perak

BERUAS, 10 Januari - Polis menemui satu botol disyaki mengandungi 'Molotov Cocktail' yang menyebabkan kebakaran sekali gus memusnahkan tiga buah kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di kediamannya di Ayer Tawar, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 435 kanun keseksaan iaitu khianat dengan api dan akan menyiasat secara terperinci dari pelbagai sudut.

Menurutnya, usaha mengesan individu yang terlibat kini masih diteruskan.

Katanya, polis menerima panggilan kejadian pada 2.55 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku kebakaran melibatkan tiga buah kenderaannya.

"Pengadu merupakan Ahli Parlimen Beruas memaklumkan kejadian kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan jenis Mercedes Benz, Honda CR-V dan Toyota Hilux melibatkan kesan kepanasan iaitu yang terkesan di bahagian bumper belakang serta bahagian badan sebelah kanan kereta Hilux di bahagian hadapan.

"Turut ditemui di lokasi kebakaran adalah 1 botol yang disyaki mengandungi molotov cocktail," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 0193927837 bagi membantu siasatan.

Terdahulu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Kebakaran 10 peratus juga membabitkan siling dan bumbung garaj kereta dan tiada mangsa cedera dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam kenyataan hari ini berkata DAP meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perhatian serius terhadap kejadian itu, di samping perlu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN