fb fb fb fb fb

Kebakaran rumah Koo Ham: Polis tahan seorang suspek di Shah Alam

Sehari selepas kejadian khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas awal pagi Rabu/Foto Ihsan Polis Perak

MANJUNG, 12 Januari - Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit insiden khianat api di kediaman Datuk Ngeh Koo Ham sehingga menyebabkan tiga kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas itu terbakar di Taman Semarak Jaya Ayer Tawar, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Shah Alam, Selangor pada pukul 4 pagi tadi.

"Penahanan ke atas suspek turut membawa kepada rampasan dua buah telefon bimbit.

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman selama lima hari sehingga 16 Januari depan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

RTM sebelum ini melaporkan polis menemui satu botol disyaki mengandungi ‘molotov cocktail’ atau bom petrol yang menyebabkan kebakaran di garaj kediaman bekas Speaker Perak itu.

Akibat kejadian itu, tiga kereta musnah dalam kejadian itu, termasuk Mercedes E300, yang terbakar kira-kira 80 peratus.

Turut terbakar sebahagian ialah Honda CRV, dan Toyota Hilux, serta bumbung anjung rumah.

Polis menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan," tambahnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN