fb fb fb fb fb

Kastam Kedah rampas 5,000 botol air zam zam bernilai lebih RM1 juta

Pengarah JKDM Negeri Kedah, Nor Izah Abdul Latiff menunjukkan air zam zam yang dirampas

ALOR SETAR, 19 Februari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk air zam zam yang dipercayai untuk pasaran pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

Ia hasil penahanan sebuah lori kontena di Bay Pemeriksaan Import, Blok E, Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 13 Februari lalu.

Pengarah JKDM Negeri Kedah, Nor Izah Abdul Latiff berkata bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dari cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pegawai dari Cawangan Import Eksport telah menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena dari negara jiran.

Lori berkenaan dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan warga Thailand.

Hasil siasatan awal, lori kontena berkenaan masuk ke Malaysia dengan mengikrarkan dagangan sebagai 'fabric softener hygiene' menggunakan borang Kastam 1.

Pemeriksaan lanjut menjumpai 5,000 botol air zam zam berkapasiti 5 liter sebotol dengan berat keseluruhan 25,000 liter bernilai kira-kira RM1,262,721.23 yang tidak diikrar dan tiada permit.

Air zam zam berkenaan disembunyikan di bahagian belakang muatan kontena.

Manakala di bahagian pintu kontena disusun kotak yang mengandungi pelembut pakaian bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Pelembut pakaian yang diikrar adalah sebagai 'dummy' untuk mengaburi pihak Kastam, disusun penuh di pintu kontena dan ia menyukarkan pegawai untuk memeriksa keseluruhan dagangan yang terdapat di dalam kontena tersebut.

"Air zam zam ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk mengelak daripada dikenakan duti dan cukai. Pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga tidak mengeluarkan sebarang permit air zam zam ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Kedah di Jalan Pegawai, Alor Setar.

Nor Ifah berkata, pihaknya turut meragui ketulenan air zam zam berkenaan memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam ke pasaran luar.

Kenyataan daripada KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mengesahkan tiada pengedar atau syarikat dari Malaysia yang diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

Air zam zam diklasifikasikan sebagai barangan larangan import mengikut Butiran 35, Jadual Ketiga, Item 19 (Larangan Mengenai Import) 2023.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE