KUALA LUMPUR, 24 Januari – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai doktor palsu dalam serbuan ke atas 10 buah klinik sekitar ibu negara.
Serbuan tersebut dilakukan hasil aduan orang awam dan risikan selama dua minggu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, berkata Operasi Khas bermula pada pukul 11.45 pagi semalam bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Antaranya enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua lokasi Leboh Pudu dan satu lokasi di Jalan Silang semalam.
Tambah beliau operasi melibatkan pegawai pelbagai pangkat bersama pegawai Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Hasil serbuan, pasukan operasi berjaya menahan 10 lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 50 tahun serta merampas pelbagai peralatan perubatan palsu, ubat-ubatan, dan wang tunai berjumlah RM800 yang dipercayai diperoleh daripada rawatan dan jualan ubat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pihak KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.
Kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Zakaria mendedahkan bahawa sindiket doktor palsu warga Bangladesh menggunakan modus operandi dengan menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan tanpa kelulusan, khusus untuk warga Bangladesh sahaja.
Menurutnya, rawatan tersebut dilakukan oleh warga Bangladesh yang tidak bertauliah, dengan ubat-ubatan tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM.
"Ubat-ubatan itu dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang memasuki negara ini sebagai pelancong, dengan bayaran rawatan mencecah antara RM200 hingga RM500 bagi setiap pelanggan.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis seperti kedai makan atau kedai runcit untuk mengelirukan pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama lebih setahun,” katanya.
Tambah beliau, kesemua warga asing yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
Selain itu, dua lelaki warga Bangladesh dan enam wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.