fb fb fb fb fb

Isu stoking kalimah Allah: Status representasi KK Supermart diketahui 15 Julai

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan (tengah)/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 10 Jun - Status representasi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri Datin Seri Loh Siew Mui untuk menarik balik semua pertuduhan ke atas mereka diketahui 15 Julai ini.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat memaklumkan representasi dikemukakan pihak pembelaan pada 17 Mei lepas itu masih diteliti Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Semua tertuduh telah mengemukakan representasi kepada AGC dan ia telah diterima pada 26 Mei lepas. Bagi menimbang dan mengkaji representasi itu, pendakwaan memohon tarikh baharu.

"Sekiranya tidak dibantah oleh pihak pembelaan, kami mencadangkan pada 15 Julai depan," katanya pada prosiding berkenaan hari ini.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh pada prosiding hari ini tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Chai, 57 dan Loh, 53, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan kedai serbaneka itu di cawangan Bandar Sunway pada 6.30 pagi, 13 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding hari ini peguam Lau Yi Leong yang mewakili Syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, yang mengedar barangan kepada KK Super Mart, turut akan mengetahui status representasi pada tarikh sama, atas pertuduhan bersubahat mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.

Pada 26 Mac lepas, Xin Jian Chang dan tiga pengarah syarikat pembekal berkenaan iaitu Soh Chin Huat, 61; Goh Li Huay, 62; dan Soh Hui San, 36; mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin, di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir. - BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:
Isu stoking: Pengarah KK Mart isteri akan kemuka representasi kepada AGC
'Henti perbesar isu stoking' - KPN
Agong titah hentikan kontroversi stoking kalimah Allah
Isu stoking tertera kalimah Allah: KK Supermart saman syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd
Polis Batu Pahat terima sembilan laporan berhubung stoking tertera kalimah Allah
Isu stoking kalimah Allah : KPN serah KDN untuk siasatan penuh

GRACE AISYAH KEDAYAN