fb fb fb fb fb

Polis Batu Pahat terima sembilan laporan berhubung stoking tertera kalimah Allah

Kain rentang permohonan maaf kepada rakyat Malaysia digantung di pagar kilang pembungkusan semula stoking tertera kalimah Allah di Batu Pahat

BATU PAHAT, 20 Mac- Sebanyak sembilan laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berhubung stoking bertulis kalimah Allah yang dikeluarkan sebuah kilang di Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata tiga individu turut dipanggil iaitu pemilik, pengurus dan pekerja kilang bagi dirakam percakapan untuk  melengkapkan siasatan.

“Setakat ni masih dalam siasatan lagi, pagi ini kita merakam percakapan tuan punya kilang, pekerja dan pengurusan kilang untuk mengetahui dari mana dapat bekalan, pembungkusan dan juga mengedar,"katanya.

Pada pukul 9 pagi semalam, polis membuat serbuan ke atas sebuah kilang yang beroperasi di kawasan perindustrian Sri Gading, Batu Pahat dan menjumpai lima pasang stoking bertulis kalimah Allah di kilang berkenaan.

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas 16 guni stoking mengandungi 18,800 pasang dari China sebelum kilang terbabit membungkus semula dan diedarkan ke pasaran.

Namun hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang tulisan kalimah Allah pada stokin berkenaan kecuali lima pasang yang telah dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A/ 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tinjauan ke atas kilang terbabit pagi tadi juga kelihatan lenggang dan sunyi dengan kain rentang permohonan maaf kepada rakyat Malaysia digantung di pagar kilang berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE