fb fb fb fb fb

Lelaki rosakkan kereta dengan helmet ditahan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 10 Jun- Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kejadian merosakkan sebuah kereta dengan menggunakan helmet di Jalan Sungai Pinang pada Sabtu lalu seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di rumahnya di Jalan Sungai Pinang, di sini pada 7 malam semalam dan kini dia direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.50 petang di mana lelaki tersebut merosakkan kereta mangsa kerana dia tidak berpuas hati dan mendakwa pemandu kereta tersebut terlanggar motosikalnya lalu suspek menyuruh mangsa memberhentikan kereta untuk bergaduh.

"Walau bagaimanapun, lelaki yang memandu kereta itu enggan berhenti dan tidak mahu memanjangkan keadaan, namun suspek bertindak mengekori kereta mangsa kerana tidak berpuas hati sambil merosakkan kereta itu dengan menggunakan helmetnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau memaklumkan ketika memukul kereta mangsa menggunakan topi kaledar, suspek turut menjerit-jerit dan keadaan tersebut telah menyebabkan anak pemandu kereta yang berada dalam kenderaan itu menangis kerana ketakutan.

Ujarnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI