fb fb fb fb fb

Empat lelaki etnik Pala'u ditahan guna bom ikan di Lahad Datu

Antara suspek yang ditahan dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di selatan Pulau Kun Kun di sini semalam.

LAHAD DATU, 10 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan empat lelaki etnik Pala'u serta merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di selatan Pulau Kun Kun di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata kesemua suspek ditahan selepas menerima dua aduan awam pada 6.16 petang serta 6.31 petang yang mengesan dua bot berwarna biru dan oren di 2.2 batu nautika di selatan pulau itu.

"Kesemua tahanan berumur antara 20 hingga 40 tahun ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran bot.

"Anggota keselamatan bertugas turut menemukan dua botol bom ikan di atas bot itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 26 membabitkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan termasuk racun dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5,000.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI