AYER KEROH, 10 Jun- Tiga guru tadika dan seorang pembantu taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengabai serta menganiaya dua kanak-kanak di bawah jagaan mereka, sejak Mac lalu.
Tertuduh ialah tiga guru tadika, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24, Hafsah Ab Razak, 33, Nur Diyana Zainudin, 24, dan seorang pembantu tadika sama, Jamia Abd Rahman, 41.
Pengakuan itu dibuat sejurus satu pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan pada dua prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mendedah serta mengabaikan dua kanak-kanak lelaki yang juga adik beradik berusia empat dan enam tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Bonda Preschool, No 12-1 dan 14-1 Jalan Cheng Indah 8, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak, di sini, antara pertengahan Mac hingga awal Mei lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi 50 ribu ringgit atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan menawarkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam, Mohd Fadil Mohd Yusof memohon agar ia dikurangkan memandangkan mereka kurang berkemampuan.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.
Hakim Azaraorni pada penghakimannya pula menetapkan jaminan RM10,000 pada dua lagi tertuduh serta menetapkan 24 Julai depan bagi sebutan semula kes.
Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, selain diarah untuk tidak mendekati saksi pendakwaan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Asnini Kamarudin yang turut dihadiri peguam pemerhati keluarga mangsa, Mohamed Ashmeer Mohamad Ashrof.