fb fb fb fb fb

'Henti perbesar isu stoking' - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR, 29 Mac - Orang ramai digesa supaya menghentikan serta tidak lagi memperbesarkan isu stoking tertera kalimah Allah yang dikaitkan dengan kedai serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini yang mengumumkan bahawa siasatan berhubung perkara itu sudah ditutup.

"Kita memantau juga media-media sosial berkenaan dengan isu-isu yang boleh membangkitkan amarah di antara kaum ataupun agama-agama.

"Kita bukan tidak menyiasat. Apabila laporan dibuat, kita akan siasat. Semua laporan kita akan siasat sekiranya laporan-laporan itu jatuh dalam mana-mana akta kesalahan, kita akan siasat," kata Razarudin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

TETITIA YUSOFF