fb fb fb fb fb

KPDN Johor nafi dakwaan tular, harga roti john di bazar cecah RM40

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 29 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan aduan yang tular di media sosial berhubung harga makanan seperti roti john dan burger, dijual dengan harga mencecah RM40, di Bazar Ramadan Taman Suria, Johor Bahru.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata penafian dibuat selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di bazar tersebut, kelmarin.

Pemeriksaan mendapati hanya dua gerai menjual burger, dengan harga RM6-RM10 manakala lima gerai menjual roti john, dengan harga RM6-RM15.

Selain itu, KPDN turut mendapati tiada peniaga mengenakan caj penggunaan beg plastik di bazaar berkenaan, sepertimana didakwa dalam aduan tular itu.

Bagaimanapun, satu kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga pada makanan yang dijual.

Sejak 12 Mac hingga Rabu lalu, KPDN Johor telah menjalankan 727 pemeriksaan gerai di bazar Ramadan, menerusi Ops Pantau, dan telah mengeluarkan tiga kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM