fb fb fb fb fb

Individu tular berkas lelaki guna senjata api disahkan anggota polis

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid

GEORGE TOWN, 2 Ogos - Individu dalam rakaman video yang tular menggunakan senjata api memberkas seorang lelaki disahkan adalah seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Razlam Ab Hamid berkata individu itu adalah anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan sedang menahan lelaki yang disyaki menghalang serta menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam di Relau pada 5.45 petang, Rabu lalu.

"Suspek bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan hampir melanggar anggota polis yang berada di lokasi namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik mengandungi dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 10.35 gram," katanya menerusi kenyataan.

Razlam berkata, sehari sebelum kejadian, suspek sama telah melanggar seorang anggota polis ketika melarikan diri daripada ditahan sehingga menyebabkan kecederaan kepada anggota polis.

Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN