fb fb fb fb fb

Ibu Zayn Rayyan ke Penjara Wanita Kajang serta merta

ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf diperintah ke Mahkamah Penjara Kajang Wanita serta merta

PETALING JAYA, 31 Oktober - Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30 tahun, selepas didapati bersalah atas kesalahan mengabaikan anak lelakinya yang juga kanak-kanak autisme, dua tahun lalu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta.

Keputusan dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran berjumlah RM3,000.

Ismanira juga diarahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Sepanjang prosiding, seramai 28 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan, termasuk ibu tertuduh sendiri yang tampil sebagai saksi utama pembelaan.

Pihak pembelaan bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman selepas keputusan dibacakan, namun mahkamah menolak permohonan tersebut dan memerintahkan hukuman dilaksanakan serta-merta.

Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Zayn Rayyan, 6 tahun, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemui meninggal dunia keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Damansara Damai.

 

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN