fb fb fb fb fb

Ibu bapa Zayn sambung reman, polis dakwa kenyataan bercanggah

Ibu dan bapa Zayn Rayyan disambung selama enam hari dan akan tamat pada 12 Jun ini/Foto BERNAMA

KAJANG, 8 Jun - Polis mendakwa terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diterima membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Justeru itu, Hussein berkata pihak polis membuat permohonan sambungan reman terhadap ibu dan bapa Zayn untuk melengkapkan siasatan.

Menurut Hussein, pihaknya akan menyemak semula daripada pelbagai aspek bagi melengkapkan siasatan tersebut.

"Ada perkara yang tidak selari atau (tidak) konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya dan menjurus kepada ibu bapa adik ini (Zayn) jadi kita telah selesai siasatan fasa pertama iaitu selama tujuh hari dan ada perkara-perkara yang perlu kita semak semula.

"Ini kerana ada perkara yang masih tidak seiring dengan siasatan, jadi kita sambung reman enam hari untuk lengkapkan kertas siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan, hari ini.

Jelasnya lagi, pihaknya mempunyai budi bicara untuk membenarkan peguam yang mewakili pasangan terbabit untuk bertemu.

"Memang ada ruang untuk berjumpa cuma polis ada ruang untuk menentukan bila untuk berjumpa dalam tempoh reman itu atau selepas reman," katanya.

Terdahulu media melaporkan peguam Fahmi Abd Moin yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya dilantik bagi mewakili ibu bapa Zayn.

Menurut Hussein, setakat ini tiga individu membabitkan bekas pengasuh mangsa dan dua ahli keluarga pengasuh telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan ke atas pasangan itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Semalam reman terhadap ibu dan bapa Zayn Rayyan berakhir, disambung selama enam hari dan akan tamat pada 13 Jun ini.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9 malam 6 Disember lalu.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada kira-kira 6.30 petang oleh keluarganya.

GRACE AISYAH KEDAYAN