fb fb fb fb fb

Guna kereta sewa jalankan aktiviti seludup dadah di Perlis

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim menunjukkan dadah yang berjaya dirampas anggota PGA ketika membuat pemantauan berhampiran sempadan Padang Besar, Perlis dan Thailand.

KANGAR, 1 April- Menggunakan kereta sewa untuk menjalankan aktiviti haram bagi mengelak dikesan pihak polis antara modus operandi penjenayah di Perlis untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Bagaimanapun, kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dadah jenis ganja seberat 56 kilogram (kg).

Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, sebuah kenderaan dikesan mencurigakan oleh anggota PGA yang sedang membuat pemantauan berhampiran sempadan Padang Besar, Perlis dan Thailand.

Beliau berkata apabila anggota PGA cuba membuat pemeriksaan, kenderaan tersebut bertindak memecut keluar dari kawasan berkenaan.

"Kita dapati di dalam kenderaan itu ada bungkusan- bungkusan mengandungi dadah jenis ganja dan selepas ditimbang kita dapati beratnya lebih kurang 56 kg membawa nilai RM173,600 dan dengan jumlah berat ini boleh menampung penggunaan kepada lebih 200,000 penagih," katanya.

Bagaimanapun Muhammad Abdul berkata sejam kemudian, pihak polis menerima laporan dipercayai kenderaan sama terbabas ke dalam sebuah kebun harumanis di sekitar Bukit Cabang, Padang Besar.

Katanya, suspek juga telah meninggalkan kenderaan yang disewa itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

ZEHRA BINTI ZAMBRI