fb fb fb fb fb

Guna dokumen palsu setiausaha syarikat perladangan mengaku tidak bersalah

Muhammad Hizafiq Harryzan, 37 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 hari ini

JOHOR BAHRU, 29 Julai - Seorang setiausaha syarikat perladangan kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 2 di sini, hari ini atas pertuduhan pemalsuan dokumen pada 2021.

Tertuduh Muhammad Hizafiq Harryzan, 37 tahun membuat pengakuan tersebut, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan satu dokumen tulen berhubung Cadangan Bayaran Dividen Dengan Kadar 82.06 peratus sebanyak RM3,818,227.50 bagi tahun berakhir 31 Mei 2021; Cadangan Bayaran Elaun Pengarah bagi tahun berakhir 31 Mei 2021 dan Cadangan Bayaran Insentif kepada Setiausaha Syarikat dan Pegawai Akaun bagi tahun berakhir 31 Mei 2021.

Tertuduh melakukan kesalahan itu antara Ogos hingga Disember 2021 di Jalan Bukit Timbalan, di sini antara Ogos hingga Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Zahida Muhammad Ruzi, manakala tertuduh diwakili peguam R.Subash.

Mahkamah menetapkan 3 September hadapan sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan.

GRACE AISYAH KEDAYAN