IPOH, 8 November -Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) boleh mendapatkan maklumat mengenai keberadaan anak mereka, menerusi semakan dengan pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kanak-kanak yang diselamatkan melalui Op Global itu kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelas beliau, antara prosedur yang dilakukan ke atas kanak-kanak tersebut termasuk melalui proses saringan JKM dan pasukan perubatan dijalankan mengikut lunas undang-undang.
"Jadi, bila sudah diberi dibawah jagaan JKM, mereka ada prosedur-prosedur tertentu untuk memastikan anak-anak ini diserahkan orang yang betul-betul layak.
"Dan bukan sahaja layak dari sudut status dan hubungan tetapi mampu menjaga anak itu dengan baik dan supaya anak itu kebajikannya selamat", katanya demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini.
Pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dilantik memangku tugas Ketua Polis Perak berkuatkuasa Ahad ini. Beliau menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib.
Pada majlis itu, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak antara isteri Datuk Azizi, Datin Wanita Wari, kepada isteri Deputi Komisioner Zulkafli, Puan Zaleta Ibrahim yang akan memangku tugas itu.
Tambah beliau, pihaknya tiada halangan sekirannya mana-mana pihak yang menentang usaha penyelamatan terhadap kanak-kanak dibawah jagaan GISBH sebelum ini, untuk mengambil tindakan undang-undang.