fb fb fb fb fb

GISBH: Guru agama dipenjara 10 tahun rotan tiga kanak-kanak lelaki, tekan dada guna lutut

Guru agama Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISBH/Foto BERNAMA

KLANG, 26 September - Seorang guru agama dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan terbabit.

"Saya mengaku bersalah puan," kata tertuduh sambil menundukkan kepala ketika ditanya jurubahasa mahkamah berhubung pengakuannya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala penjara tiga tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan menjadikan kesemuanya berjumlah 10 tahun.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM10,000 dan sekiranya gagal mamatuhi bon, boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Barur Rahim yang juga warden sekolah berkenaan didakwa sebagai seseorang mempunyai pemeliharaan terhadap dua kanak-kanak lelaki berumur 11 dan 10 tahun menganiaya kedua-dua mangsa dengan merotan mereka yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi iaitu di sebuah premis dan sekolah rendah agama di Bandar Bukit Raja di sini sekitar Julai lepas pada waktu pagi dan petang, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Seksyen itu juga memperuntukkan hukuman tambahan iaitu orang yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh difikirkan patut oleh mahkamah berserta apa-apa syarat, dan jika syarat bon tidak dipatuhi, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Lelaki terbabit turut berdepan dua pertuduhan sama iaitu sebagai seorang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, telah menganiayai mangsa dengan cara menekan dada kanak-kanak itu menggunakan lututnya dan merotan mangsa yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sekolah agama sama pada waktu pagi dan malam antara Jun hingga September lepas dan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman serupa.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum agar tidak melakukan kesalahan sama.

"Perbuatan tertuduh tidak mempunyai sifat kemanusiaan kepada mangsa-mangsa. Tertuduh telah melakukan kesalahan yang mempunyai elemen kekerasan menunjukkan hukuman yang diberikan kepada tertuduh tidak boleh dipandang ringan.

“Selain itu, perlu diambil kira hubungan tertuduh dengan kanak-kanak itu yang merupakan penjaga premis di asrama tempat mangsa-mangsa bersekolah,” katanya.

Menurut Kalmizah, tertuduh sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa dengan penuh tanggungjawab kerana kanak-kanak itu masih bersekolah dan kehidupan mereka masih jauh.

“Akibat kelakuan tertuduh, mangsa mengalami trauma untuk meneruskan pengajian di mana-mana sekolah. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya hukuman terhadap tertuduh berjalan berasingan," kata Kalmizah yang turut mengendalikan kes bersama TPR Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Muhammad Barur Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan menanggung ibu bapanya serta dia masih belum berkahwin.

"Saya benar-benar insaf dan berazam tidak mengulangi kesalahan ini. Kalau boleh, mohon ringankan hukuman," katanya.

Pada 16 Sept lepas, polis memulakan siasatan selepas tular rakaman video yang memaparkan kanak-kanak lelaki dilihat mengerang kesakitan dipercayai akibat dada dan lehernya ditekan oleh suspek menggunakan lutut. 

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 Sept menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki mangsa eksploitasi syarikat itu. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN