SEGAMAT, 2 November- Enam individu termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh seorang lelaki di Taman Sejati, Batu Anam, di sini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan kerana terlibat dalam kejadian berkenaan manakala, tiga lagi lelaki ditahan atas kesalahan khianat dan rusuhan.
Hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan si mati yang dikatakan telah membuat bising dihadapan rumahnya.
Pergaduhan berkenaan menyebabkan mangsa berusia 30 tahun, terbunuh disebabkan libasan dan tetakan parang oleh suspek terlibat.
Rakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan juga mengalami kecederaan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Dalam kejadian sama, kereta milik keluarga suspek juga dirosakkan rakan mangsa.
Semakan rekod mendapati, suspek utama mempunyai tujuh rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan.