JOHOR BAHRU, 17 Januari- Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dan bahan lucah, pada Disember tahun lalu.
Pengakuan dibuat tertuduh, Lim Xin Yi, 31 tahun, yang berdepan tiga pertuduhan, sementara Goh Kien Yoong, 37 tahun, dua pertuduhan, pagi tadi di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Xin Yi berdepan dua pertuduhan kerana mempunyai 2,572 gambar dan video, penganiayaan seksual kanak-kanak, di dua komputer berbeza, di Taman Skudai Baru, Johor Bahru, pada 23 Disember lalu.
Sementara itu Kien Yoong berdepan satu pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, sebanyak 211 keping gambar dalam komputer riba, di Taman Bukit Indah 2, Iskandar Puteri, hari sama.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, beserta syarat-syarat tambahan, dan kes disebut semula 13 Februari depan.
Di hadapan Majistret A. Shaarmini pula, Xin Yi, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah, atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah.
Mengaku bersalah atas pertuduhan hampir serupa, tertuduh Kien Yoong, turut dijatuhi hukuman denda RM5,000, oleh Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin,
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 929 (A) Kanun Keseksaan.
Manakala pendakwaan dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, Nur Fatihah Mohd Nizam, dan R. Nevina.