fb fb fb fb fb

Dua bersahabat dipenjara seumur hidup edar methamphetamine

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah mengedar 305.1 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Lee Chuen Hoe, (44)dan Chen Kok Kwong, (59) di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah mendapati dadah tersebut berada bawah jagaan dan kawalan tertuduh pertama (Lee) serta tertuduh kedua (Chen) dan mereka mengetahui tujuan dadah tersebut (untuk diedar). Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan tersebut," Hakim Muhammad Jamil.

Tertuduh pertama (Lee) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan manakala tertuduh kedua (Chen) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Jun 2021.

Selain itu, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan tertuduh ketiga, So Hoong Piau, 29, daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan pusat rawatan, Ling Chiropractic Care, Jalan Perkasa, Aked Esplanad di Bukit Jalil, pada 6.20 petang, 21 Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman mati.

Tahun lalu, mahkamah memerintahkan tiga rakan itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula 13 Mac 2023 dengan enam saksi memberi keterangan manakala perbicaraan di peringkat pembelaan pada 5 Dis 2023 membabitkan tujuh saksi memberi keterangan termasuk tiga tertuduh itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE