Masyarakat diminta bertanggungjawab guna media sosial sepanjang PRN Negeri Sembilan

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 18 Julai – Semua masyarakat diingatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM memandang serius penyebaran fitnah, hasutan, penghinaan, provokasi atau berita palsu yang mengancam ketenteraman dan keharmonian masyarakat.
  • PDRM meningkatkan pemantauan media sosial dan menyiasat setiap pelanggaran undang-undang tanpa mengira latar belakang individu.
  • Tindakan tegas akan diambil mengikut Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan undang-undang berkaitan.
  • Orang ramai diseru mendapatkan maklumat sahih, tidak mudah terpengaruh provokasi serta bersama memelihara keamanan dan keharmonian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyebaran komen berunsur fitnah, hasutan, penghinaan, provokasi, berita palsu atau kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam, serta mengancam keselamatan negara, sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian, permusuhan, ketegangan kaum, agama, insitusi diraja atau mana-mana pihak terlibat dengan pilihan raya,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mempertingkatkan pemantauan terhadap kandungan media sosial sepanjang PRN, selain sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk tetapi tidak terhad kepada Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang lain berkaitan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi serta bersama-sama memelihara keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian negara.

Katanya langkah itu penting bagi memastikan PRN Negeri Sembilan ke-16 dapat berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan mematuhi lunas undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.