fb fb fb fb fb

APMM Labuan rampas dadah bernilai RM50,000

LABUAN, 28 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM50,000 menerusi Op Sejahtera, Op Benteng Laut dan Op Kuda Laut, semalam.

Pengarahnya, Kapten Nudin Jusoh berkata, pihaknya mengesan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan dalam perjalanan dari Menumbok ke Labuan.

Selepas menyedari kehadiran penguat kuasa, suspek memecut botnya ke kawasan cetek sebelum turun melarikan diri ke kawasan paya bakau.

Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik mengandungi bahan kristal yang dipercayai dadah methamphetamine seberat 900 gram dibungkus di dalam bungkusan teh cina.

Pasukan operasi kemudiannya membawa dadah bersama bot gentian kaca itu ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

(Dadah syabu yang ditemui dalam bot gentian di perairan Menumbok)

Nudin berkata, usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini boleh salurkan maklumat ke talian 087-427999," katanya.

Kes disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu