fb fb fb fb fb

Aliff Syukri bela diri, nafi muat naik kandungan sumbang di media sosial

Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bercakap dengan pemberita ketika berada di mahkamah

SEPANG, 19 Mei-Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menafikan dakwaan pihaknya menyokong atau mempromosikan elemen LGBT dalam kandungan media sosialnya, susulan penerbitan muzik video kontroversi Kelepok Raya.

Menurutnya, sebagai ketua keluarga, dia sentiasa menjaga batas dan menolak sebarang tuduhan yang mengaitkannya dengan elemen tersebut.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali menyokong atau mahu mempromosikan LGBT dalam mana-mana platform media sosial saya seperti yang ditohmahkan ke atas diri saya.”

“Sebagai seorang suami dan bapa kepada enam orang anak, saya tidak akan membuat perkara yang akan menjadi contoh yang tidak baik kepada mereka seperti mempromosikan LGBT,” katanya dalam kenyataan kepada mahkamah.

Menjawab pertuduhan bahawa dia memuat naik empat video yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang ke media sosial, Aliff menegaskan dia bukan individu yang berbuat demikian.

Mengulas mengenai kandungan muzik video itu, Aliff memaklumkan bahawa ia dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada klip video dua artis terkenal tempatan.

“Saya juga mengambil inspirasi dari dua buah klip muzik video dua orang artis iaitu Hael Husaini dan Elizabeth Tan dalam penghasilan muzik video ‘Kelepok Raya’ tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Aliff didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kandungan video muzik Hari Raya yang mencetuskan kontroversi. Dia mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE