fb fb fb fb fb

UPM tekad muncul juara Festival Teater Pengguna Siswa MAKUM tahun depan

Pasukan UPM merakam gambar kenangan bersama setelah meraih Naib Johan Festival Teater Pengguna Siswa MAKUM 2023, pelakon wanita terbaik dan skrip terbaik.

SERDANG, 2 November- Selepas muncul naib juara Festival Teater Pengguna Siswa Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2023 baru-baru, Universiti Putra Malaysia (UPM) pantas simpan azam mendominasi acara tersebut bagi edisi tahun hadapan.

Pengarah pasukan, Muhammad Alzammudin Serajudeen, 21, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila hasil penat lelahnya selama sebulan bersama 19 lagi ahli kumpulannya membuahkan hasil kejayaan.

"Sejak awal ahli teater kami sering berubah-ubah kerana masing-masing mempunyai komitmen tersendiri memandangkan masing-masing dalam jurusan pengajian yang berbeza dan kami juga hampir berputus asa.

"Namun kejayaan hari ini sangat berbaloi dengan segala cabaran dan keringat bertungkus lumus bersaing dengan 16 lagi pasukan universiti awam yang lain. Mungkin pada tahun hadapan kami akan cuba untuk merampas takhta juara,"katanya.

UPM yang merupakan tuan rumah festival tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan plak iringan.

Jelas Muhammad Alzammudin, kerjasama ahli kumpulannya berjaya mencapai sasaran awal untuk menjadi
tiga pasukan terbaik dalam anugerah utama.

Dalam pada itu, pasukan UPM turut membolot anugerah skrip terbaik dan pelakon wanita terbaik dengan membawa pulang RM300 bagi setiap anugerah.

Pasukan UPM telah menghasilkan sebuah teater mengisahkan kehidupan dua keluarga yang hidup berjiran di pangsapuri B40 menguruskan perbelanjaan dan kehidupan.

Festival teater ini merupakan penganjuran kali kedua selepas julung kali diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE