fb fb fb fb fb

Penyanyi Taylor Swift tangguh persembahan susulan kematian peminat akibat cuaca panas melampau

Penyanyi Taylor Swift ketika persembahan di Stadium Nilton Santos, Rio de Jeneiro pada Jumaat/ FOTO AFP

RIO DE JANEIRO, 19 November - Penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift menangguhkan persembahan pada Sabtu susulan cuaca panas melampau sehari selepas kematian seorang peminat yang jatuh sakit di lokasi konsert.

"Keputusan telah dibuat bagi menangguhkan pertunjukan malam ini kerana suhu yang melampau di Rio de Janeiro.

"Keselamatan dan kesejahteraan peminat saya, rakan penghibur dan anggota terlibat sentiasa menjadi keutamaan", tulis Swift di Instagram dua jam sebelum penyanyi tersebut memulakan persembahannya.

Jumaat lalu, salah seorang peminat Ana Clara Benevides 23, dilaporkan tidak sihat ketika persembahan yang diadakan di stadium Nilton Santos.

Ana kemudian pengsan dan dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia. Punca kematiannya tidak diketahui dan sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Rio de Jeneiro pada Jumaat mencatatkan rekod rekod tertinggi indeks haba, yang menggabungkan suhu dan kelembapan, pada 59.3 darjah Celsius (138.7 darjah Fahrenheit).

Manakala pada hari Sabtu, indeks haba memuncak pada 59.7 darjah Celsius (139.5).

Swift dijadualkan membuat persembahan di Rio pada hari Ahad, diikuti dengan tiga pertunjukan di São Paulo dari 24 hingga 26 November. Pihak penganjur, T4F berkata persembahan Sabtu ditunda ke Isnin.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD