fb fb fb fb fb

Jasmine Suraya pilih lanjut pengajian ke LA

Foto: FB Jasmine Suraya Chin

KUALA LUMPUR, 26 November- Pelakon Jasmine Suraya menjadi aktres pertama Malaysia terpilih melanjutkan pengajian di Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) tahun depan.

Jasmine atau nama penuhnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei berkata, ia merupakan hadiah hari jadi paling bermakna buat dirinya yang menyambut ulangtahun kelahiran ke 34 tahun ini.

"Hadiah istimewa tahun ni, saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah akademi yang sangat terkenal dan adalah akademi yang susah untuk masuk dan alumni nya memang pelakon-pelakon yang sangat gah la termasuk iAngelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga. Mereka semua adalah selebriti kesukaan saya," katanya.

Menurut Jasmine, bukan mudah untuk diterima masuk ke Lee Strasberg Theatre and Film Institute kerana setiap calon perlu menduduki ujian bertulis dan temu duga secara dalam talian.

Beliau turut terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan dari negara seberang iaitu Indonesia bagi melanjutkan pelajarannya selama setahun.

“Saya akan berehat sementara dari dunia lakonan untuk melanjutkan pelajaran di LA yang juga merupakan antara akademi seni berprestij di dunia. Saya terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan termasuk dari produksi filem Indonesia.

“Pada awalnya memang rasa terkejut dan berat hati apabila dapat tawaran ini tetapi memikirkan impian untuk menjadi pelakon lebih baik, saya teruskan hasrat tersebut. Jadi, saya akan ‘terbang’ ke sana Disember dan kelas akan bermula pada Januari sehingga Disember tahun depan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kos pengajian, Jasmine berkata ia menjadi salah satu kebimbangannya apabila perbelanjaan keseluruhan pengajian yang perlu ditanggung adalah sekitar RM300,000.

Susulan itu, dia menaruh harapan besar agar hasratnya untuk menyambung pengajian ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan khususnya dalam bentuk biasiswa.

“Sebagai anak jati Sarawak, saya juga telah menghantar surat permohonan untuk mendapatkan dana sokongan daripada badan kerajaan di sana. Saya juga ada mencuba nasib dan mohon dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Setakat ini masih menunggu keputusan namun sangat berharap agar impian ini meraih sokongan penuh daripada pihak kerajaan,” ujarnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI