fb fb fb fb fb

Imaginur dinobat Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33

Festival Imaginur merangkul anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33

KUALA LUMPUR, 7 Disember - Filem Imaginur merangkul anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media sebentar tadi.

Filem arahan Nik Amir Mustapha serta terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

Filem genre cereka sains romantik itu turut menobatkan pengarahnya sebagai Pengarah Terbaik FFM-33 dan membawa tuah kepada Beto Kusyairi apabila diangkat sebagai pelakon Lelaki Terbaik.

Kedua-dua mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Selain itu, filem Imaginur turut memenangi Anugerah Lagu Tema Terbaik dan Anugerah Penyunting Terbaik dalam FFM33 kali ini.

"Terima kasih kepada semua penonton Imaginur. Tanpa sokongan anda, filem ini tidak mungkin sampai ke tahap ini. Kami juga menghargai usaha pihak media, blogger, dan semua yang membantu mempromosikan filem ini, terutama di era digital ini.

"Tahniah kepada semua calon lain filem anda memang hebat, dan kami sangat berbangga dapat berada di sini malam ini. Terima kasih banyak, terbaik untuk FFM ke-33!," kata Nik Amir ketika menyampaikan ucapan kemenangan pada malam FMM di Auditorium Seri Angkasa, Ankgasapuri Kota Media malam ini.

Anugerah bagi kategori Filem Terbaik itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Selain itu, sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan, antaranya dokumentari 'Pekik' yang memenangi kategori Dokumentari Terbaik.

'Pekik' menerima wang tunai RM5,00 berserta trofi.

Sementara iut, 'The Missing Trophy' diangkat sebagia Filem Pendek terbaik yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Malam kemuncak FFM juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman kepada Zakaria Ahmad lebih dikenali dengan nama pentasnya A. Galak.

Sementara itu, Indera Che Muda Redzuan menerima Anugerah Khas Karyawan. Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.

Turut hadir pada FFM ke-33 Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi FINA Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

GRACE AISYAH KEDAYAN