fb fb fb fb fb

Gubahan baharu 'Nanti Kita Seperti Ini' satukan Batas Senja & Hannah Delisha

Hannah Delisha dan Masitong

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Penyanyi dan pelakon popular, Hannah Delisha berkolaborasi bersama kumpulan pop-folk Indonesia, Batas Senja menerusi 'Nanti Kita Seperti Ini' dalam versi baharu.

Vokalis utama Batas Senja, Reza Lukita Apriadi (Masitong) berkata, ia merupakan kisah benar hidupnya yang diabadikan menjadi sebuah lagu.

"Lagu ini adalah kisah benar dari hidup saya sendiri… Ditulis ketika hidup saya susah, tapi saya terus membawa harapan dan doa semoga suatu hari mampu memiliki rumah sendiri dan hidup bahagia.

"Saya rasa Nanti Kita Seperti Ini sangat dekat dengan hati ramai pendengar… Versi baharu ini adalah bentuk perayaan terhadap harapan itu sendiri," katanya.

Kolaborasi dengan Hannah tercetus apabila Masitong melihat nyanyiannya penuh perasaan menerusi platform media sosial.

"Dia cantik, bersuara indah dan sangat ekspresif. Saya yakin kalau kami bergabung, hasilnya pasti luar biasa.

"Versi ini… lebih elegan dan emosional. Kami betul-betul nak cipta pengalaman mendengar yang lebih sinematik dan berjiwa," tambah Masitong.

Menurut Hannah pula yang pertama kali mendengar lagu tersebut menyifatkan ia mempunyai tarikan tersendiri.

"Sejujurnya, kali pertama saya dengar lagu ni, saya terus rasa keterhubungan… Saya rasa sangat bersyukur dan bangga dapat jadi sebahagian daripada versi ini," kata Hannah.

Meskipun dirakam secara berasingan melibatkan pemuzik profesional, namun Hannah menyifatkan hasilnya tetap harmoni.

"Sejujurnya, semuanya berlaku dengan sangat cepat… selepas empat hari dari sesi rakaman saya, kami terus terbang ke Lampung, Indonesia untuk penggambaran video muzik.

"Saya rasa suara saya dan Masitong serasi dan seimbang, lagu ni mudah nak ikut nyanyi, tapi tetap mendalam dengan lirik yang penuh makna," katanya.

Sebagai wanita, Hannah menilai lagu itu lebih kepada penghargaan terhadap hubungan seperti momen-momen indah yang tercipta bersama.

"Lagu ni buat saya fikir tentang momen-momen kecil dalam hubungan yang kita selalu terlepas pandang. Ia bukan lagu patah hati, tapi lebih kepada menghargai.

"Saya harap lagu ini buat orang rasa tenang, rasa disayangi dan percaya bahawa membina hidup dengan seseorang itu merupakan satu perkara yang indah… Saya harap lagu ini beri semangat untuk percaya pada cinta yang sederhana tapi bermakna," kata Hannah menutup bicara.

'Nanti Kita Seperti Ini' (versi sinematik) boleh distrim di semua platform digital dan video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Hannah Delisha bermula 27 Jun 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI