KUALA LUMPUR, 4 Mei- Pengarah filem Gayong Faisal Ishak mengakui, berdepan cabaran besar dalam merealisasikan karya aksi dan biografi yang menginspirasikan Pengasas Silat Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.
Menurut Faisal, untuk mendapatkan maklumat tepat berkenaan filem ini beliau telah melakukan penyelidikan terperinci sejak Disember 2023.
Ia juga mendapat kebenaran anak perempuan Allahyarham dan cucu Allhayarham sebelum memulakan penggambaran.
Menurut Faisal karya tersebut tidak mudah untuk dihasilkan namun kejayaannya disokong barisan pelakon handalan negara seperti Beto Kusyairy yang memegang watak utama sebagai Admar.
Bagi Beto yang memegang watak utama, filem berunsurkan biografi memerlukan penjiwaan tepat bagi menampilkan kualiti lakonan yang mampu memukau penonton.
"Kelainan filem ini bukan sekadar filem aksi ianya ada drama, rasa dan semangat. Ia juga adalah untuk mengangkat Tokoh Silat Gayong iaitu Pengasas Datuk Meor Abdul Rahman serta membanggakan waris-waris serta anak-anak gayong," kata Beto.
Sementara itu pelakon hebat Nabila Huda yang memagang watak Che Som berkata, karya berkenaan lengkap dengan sentuhan yang diperlukan dalam cerita berunsurkan biografi.
"Filem gayong ini diisi dengan pelbagai emosi, pada masa sama mengetengahkan semangat kekeluargaan dan kasih sayang.
"Pada saya semua benda cukup dalam filem ini. Jiwa kekuatan orang-orang Melayu bergabung dalam menjayakan filem ini," katanya.
Filem yang bakal ditayangkan pada 8 Mei ini membariskan pelakon Beto Kusyairy yang memegang watak utama sebagai Admar, Syafie Naswip (Mat), Nabila Huda dan Yayan Ruhian (Wak Kusang yang juga Penghulu Pulau Sudong).