KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyantuni 112 penggiat seni setakat 31 Julai tahun ini, melepasi sasaran awal 100 penerima.
Bantuan itu disalurkan melalui beberapa program kebajikan termasuk Program Raya Sama-sama 2025 (50 penerima), Majlis Sambutan Hari Seniman 2025 (20), Majlis Hari Raya Kementerian Komunikasi (10), Majlis Hari Raya FINAS (20), selain inisiatif Ziarah Seni MADANI FINAS.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, semua program berkenaan bertujuan meringankan beban warga seni yang memerlukan, khususnya dari aspek kebajikan dan kesihatan.
“Sasaran FINAS untuk kes-kes kecemasan tahun ini adalah sekitar 100 orang. Jadi, untuk sesiapa yang memerlukan bantuan, khususnya artis veteran, bolehlah menghubungi FINAS dan kami akan berusaha sedaya upaya membantu mereka.
“Setakat ini, kami telah membantu 49 orang pada tahun lalu dan untuk tahun ini kami sudah membantu 12 orang termasuk dua orang pada hari ini,” katanya selepas menziarahi penyanyi dan anggota kumpulan Nico G, Mohd Shah Rosli atau Dino, di kediamannya di Kampung Baru, sempena program Ziarah Seni MADANI FINAS 2025.
Dino yang mengalami strok ringan tiga minggu lalu kini dalam proses pemulihan selepas menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur.
“Sekarang sudah hampir tiga minggu, masuk minggu keempat, hampir sebulan. Memang betul, strok ini sakitnya boleh berlarutan selama sebulan atau lebih. Kalau kita tak berusaha dan hanya baring atau tidur saja, anggota badan akan mula mengecut. Kaki saya dah mengecut, tangan pun sama. Nak bercakap pun jadi susah,” kata Dino.
Dino yang mengalami strok ringan tiga minggu lalu kini dalam proses pemulihan selepas menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur
Rombongan turut menziarahi pelakon dan pelawak veteran, Sathia Periasamy atau lebih dikenali sebagai ‘Sathiya’, yang baru menjalani pembedahan memotong ibu jari kaki kiri akibat jangkitan kuman di Hospital Ampang.
“Jari… tepi. Ada tiga tempat yang dipotong di sebelah kaki kiri. Mula-mula difahamkan tiga jari, tetapi sebenarnya bukan tiga jari… tiga tempat yang dipotong.
“Tapi abang okey, abang tak ada masalah. Abang tak sedih, abang gembira,” kata Sathiya sambil berjenaka, mencerminkan perwatakannya sebagai pelakon komedi veteran.
Sathiya kini dalam proses pemulihan dan dibenarkan pulang ke rumahnya hari ini.
Dalam kedua-dua kunjungan itu, Teo menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul buah-buahan kepada artis berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Gerald Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi); Pengarah Hospital Ampang, Dr. Kasuadi Hussin serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Noreen Iszani Yusak.
Program Ziarah Seni MADANI FINAS merupakan inisiatif Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS dengan kerjasama Yayasan FELDA, Eco Marine Group of Companies, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, AHB Holdings Berhad dan Angkasaraya Holdings Berhad.