KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia, syarikat produksi SOL Pictures Sdn. Bhd. bersama pengedar Empire Film Solution dengan kerjasama TGV Cinemas telah menayangkan semula filem Gayong bermula semalam hingga 17 September ini.
Penerbit Eksekutifnya Khairul Anuar Latip berkata, inisiatif itu diambil bagi menyemarakkan lagi sambutan bersejarah negara dengan menyajikan karya semangat perjuangan, perpaduan dan jati diri.
“Ketika ditayangkan sebelum ini, Gayong mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton. Namun, tidak dinafikan masih ramai yang terlepas peluang menontonnya, dan kini kami membuka semula ruang kepada mereka untuk menyaksikan di pawagam.
"Lagipun kami merasakan filem ini sesuai ditayangkan semula bersempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia, memandangkan intipati utama filem ini berkisar tentang seorang insan yang memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada kerakusan penjajah,” ujarnya.
Filem arahan Faisal Ishak itu diinspirasikan daripada kisah pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman.
Filem yang dibintangi pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian tersebut pernah ditayangkan di pawagam pada 5 Mei lepas.
Dalam pada itu menurut Khairul Anuar, tayangan semula kali ini hadir dengan versi lebih menarik iaitu gabungan potongan pengarah serta penilaian semula oleh pengkritik filem.
“Selain itu, kami turut menambah klip eksklusif babak dalam Gayong 2 yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan," katanya.