fb fb fb fb fb

Allahyarham Aspalela seorang yang rendah diri- Rakan industri

Antara rakan industri yang menghadiri pengebumian allahyarham Aspalela Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pemergian penyanyi era 60-an allahyarham Aspalela Abdullah, 79 tahun disifatkan sebagai kehilangan yang besar buat industri muzik khususnya irama muzik asli.

Beberapa rakan industri menyifatkan allahyarham seorang yang rendah diri dan senang berkerjasama sepanjang berada dalam industri seni.

"Dia seorang insan seni sangat merendah diri. Kami dah macam adik-beradik. Dulu masa di Kampung Baru, saya selalu pergi rumah dia dan pernah menumpang rumah Aspalela. Suami dia arwah Raja Ismail pun cukup baik, cukup rapat dengan kami. Bagi saya satu kehilangan dan kita sebagai orang seni, kita doakan terbaik moga rohnya di cucuri rahmat", kata Pengarah Filem, Datuk Yusof Haslam.

"Seorang yang amat baik dan orang yang merendag diri. Saya rasa satu kehilangan besar bila berlakunya pemergian beliau yang merupakan pelopor lagu asli", ujar artis veteran, Amran Nasarudin.

"Allahyarham ini memang tiada tandingannya. Tentang nyanyian asli buat masa ini, saya tidak nampak siapa yang setanding dengan beliau. Saya mengenali beliau lama sebab saya pernah mengiringi beliau menyanyi, saya main keyboard. Memang terharu atas pemergiannya", ujar penyanyi dan pemuzik, Syed Abdul Aziz Syed Aziz.

Allahyarham Aspalela menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur dari kediamannya di Taman Melati kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur kira kira pukul 5.35 petang tadi.

 

ROSLINA BINTI DIN