fb fb fb fb fb

'Aina Abdul Imaji Tour' bakal beraksi di Kedah, Kuala Lumpur dan Sarawak

Aina Abdul
Aina Abdul

KUALA LUMPUR, 10 September - Penyanyi dan pencipta lagu prolifik, Aina Abdul bakal kembali beraksi dalam siri konsert jelajah 'Aina Abdul Imaji Tour' di tiga lokasi iaitu Kedah, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Aina Abdul dalam kenyataan berkata, konsert yang diuruskan Altus Prohouse itu adalah sebahagian daripada usaha Aina Abdul memperkenalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan album sulungnya, Imaji yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

"Pada 14 Disember 2024, Aina Abdul Imaji Tour bakal singgah ke Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak dan pada 27 Disember 2024, Aina Abdul bakal menggegarkan Zepp KL dan lokasi akhir jelajah ini akan singgah ke Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 11 Januari 2025.

"Dengan memilih tiga lokasi istimewa untuk konsert jelajah, saya berharap dapat memperluaskan lagi jangkauan muzik kepada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja," kata Aina Abdul.

Katanya, konsert itu diadakan setahun selepas pelancaran album Imaji kerana mahu peminat benar-benar 'familiar' dengan setiap lagu dalam album tersebut.

"Jangka masa setahun sudah cukup untuk peminat menghayati lagu-lagu dalam Imaji dan kini tiba masanya untuk saya membawa pengalaman album ini ke pentas.

"Saya ingin peminat merasakan jiwa setiap lagu dalam bentuk persembahan langsung yang lebih dekat dengan mereka," ujarnya.

Pada konsert itu Aina Abdul akan menampilkan persembahan penuh emosi dan inovasi, sesuai dengan identiti muzik yang dibawanya.

Lagu-lagu seperti Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kamu, Bilang dan banyak lagi akan diberi susunan muzik berbeza dalam persembahan langsung yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Tiket Aina Abdul Imaji Tour mula dijual bermula hari ini secara dalam talian. Maklumat lanjut peminat boleh ikuti akaun media sosial rasmi Aina Abdul.

"Saya ingin memastikan bahawa setiap peminat yang hadir akan membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan," tambahnya.

TETITIA YUSOFF