
GENEVA, 20 Mei – Malaysia melakar dua pencapaian penting dalam usaha memperkukuh agenda penyakit jarang jumpa di rantau ASEAN.
- Laporan forum menghimpunkan penggubal dasar, pakar, saintis dan wakil pesakit bagi memperkukuh kerjasama serantau menangani penyakit jarang jumpa.
- Cadangan Deklarasi ASEAN bertujuan mempertingkat pengesanan awal, rujukan pesakit, akses rawatan dan penerimaan masyarakat.
- Malaysia komited kepada perubatan jitu, inovasi genomik, saringan bayi dan akses rawatan lebih adil sebagai sebahagian reformasi kesihatan.
Pencapaian membanggakan itu menerusi pelancaran Laporan Forum Penyakit Jarang Jumpa Asia Tenggara serta pembentangan pratinjau awal cadangan Deklarasi ASEAN Mengenai Penyakit Jarang Jumpa sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di Geneva.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata laporan forum berkenaan menghimpunkan pandangan penggubal dasar, pakar perubatan, saintis dan wakil pesakit dari seluruh rantau bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani penyakit jarang jumpa.
“Cadangan Deklarasi ASEAN Mengenai Penyakit Jarang Jumpa pula bakal menjadi langkah besar ke arah mempertingkat aspek pengesanan awal, rujukan pesakit, akses rawatan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan berkenaan.
Walaupun setiap penyakit jarang jumpa hanya melibatkan sejumlah kecil pesakit, secara keseluruhannya ia memberi kesan besar kepada jutaan individu di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara.
“Di sebalik statistik tersebut terdapat pesakit dan keluarga yang masih menanti diagnosis tepat, akses rawatan serta pembelaan sewajarnya,” jelas beliau dalam kenyataan Malaysia pada WHA79.
Datuk Seri Dr Dzulkefly kini berada di Geneva bagi menghadiri perhimpunan itu yang berlangsung dari 18 hingga 23 Mei.
Beliau menegaskan deklarasi tersebut bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya mencerminkan komitmen moral negara-negara ASEAN untuk memastikan tiada pesakit tercicir hanya kerana penyakit dihidapi jarang ditemui, rumit atau memerlukan kos rawatan tinggi.
“Cabaran penyakit jarang jumpa tidak mampu dipikul secara bersendirian oleh mana-mana negara, justeru semangat solidariti ASEAN amat diperlukan bagi memperkukuh sistem kesihatan serantau,” jelasnya.
Malaysia terus komited memperkasa bidang perubatan jitu, inovasi genomik, saringan awal bayi serta akses rawatan yang lebih adil dan saksama sebagai sebahagian agenda reformasi kesihatan negara.
“Kerjasama serantau itu mampu diterjemahkan kepada tindakan lebih konkrit demi memastikan pesakit penyakit jarang jumpa mendapat diagnosis lebih awal, rawatan terbaik dan sokongan menyeluruh untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.