
SEOUL, 20 Mei – Sebuah kapal tangki minyak Korea Selatan sedang melalui Selat Hormuz, menandakan transit pertama kapal negara itu melalui laluan perairan strategik berkenaan sejak perang Iran bermula.
- Serangan udara terhadap kapal yang dioperasi Korea meningkatkan kebimbangan keselamatan perkapalan negara.
- HMM Namu dilaporkan terkena dua pesawat tidak dikenali pada 4 Mei, merosakkan plat dan mencetuskan kebakaran bilik enjin.
- Tehran menafikan penglibatan; Seoul kecam serangan dan mahu siasatan menyeluruh, sementara negara bergantung pada import bahan api melalui Hormuz.
“Pada ketika ini, kapal tangki minyak kita sedang melalui Selat Hormuz,” kata Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun kepada ahli parlimen pada Perhimpunan Kebangsaan di sini.
Laman penjejakan kapal MarineTraffic menunjukkan kapal tangki Universal Winner berada di bahagian timur Selat Hormuz berhampiran pintu masuk Teluk Oman menuju ke bandar Ulsan di tenggara Korea Selatan, selepas berlepas dari pelabuhan Mina Al Ahmadi di Kuwait.
Transit itu berlaku beberapa minggu selepas sebuah kapal yang dikendalikan Korea Selatan terkena objek udara berhampiran Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan Seoul mengenai keselamatan perkapalan Korea Selatan di rantau tersebut.
HMM Namu dilaporkan terkena “dua pesawat tidak dikenali” pada 4 Mei lalu, mengakibatkan kerosakan pada plat luar tangki sebelah kiri kapal serta mencetuskan kebakaran di bilik enjin.
Tehran menafikan bertanggungjawab, dengan kedutaannya di Seoul mengeluarkan kenyataan di laman web beberapa hari selepas serangan itu, menyatakan ia menolak sekeras-kerasnya dan menafikan sama sekali sebarang dakwaan berhubung penglibatan tenteranya.
Seoul mengecam keras serangan tersebut dan berharap dapat mengenal pasti dalang menerusi siasatan menyeluruh.
Korea Selatan yang merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia sangat bergantung kepada import bahan api dari Asia Barat yang kebanyakannya dihantar melalui Selat Hormuz. -AFP